MALAYSIA

Banjir Hulu Langat surut, penduduk mula pulang dan bersihkan kediaman

Shafiqa Azami 05/09/2025 | 03:10 MYT
Proses pembersihan dijangka mengambil masa beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca. - Astro AWANI
HULU LANGAT: Banjir yang melanda kawasan Sungai Serai di Hulu Langat malam tadi mula menunjukkan tanda surut seawal Subuh pagi ini, membolehkan penduduk kembali ke kediaman masing-masing untuk memulakan kerja-kerja pembersihan.


Ringkasan AI
  • Paras air Sungai Serai mula surut awal pagi, membolehkan 15 mangsa daripada lima keluarga pulang dari PPS dan memulakan kerja pembersihan.
  • Proses pembersihan dijangka ambil masa beberapa hari hingga seminggu, bergantung kepada cuaca dan kekangan fizikal serta logistik.
  • Insiden runtuhan di Kampung Batu 17 libatkan lapan penduduk; JPAM dan polis digerakkan, manakala paras sungai melepasi tahap bahaya dengan amaran siren dikeluarkan.


Seramai 15 mangsa daripada lima keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai selepas paras air meningkat sekitar jam 9.38 malam Khamis.

Menurut salah seorang mangsa, Norhamizah Zulkamal, 53, proses pembersihan dijangka mengambil masa beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca.

“Tengah hari sikit atau lepas Zohor baru keluar sebab nak kemas-kemas. Air dah surut jadi boleh mula cuci. Nak kemas betul-betul biasanya ambil masa tiga hingga empat hari. Tapi kalau petang ni hujan lagi, memang saya tak berani bawa barang turun,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nazariah Ismail, 59, berkata faktor usia dan kekangan bekalan air paip menyebabkan kerja pembersihan rumah pusaka mereka mengambil masa lebih lama.
“Pembersihan rumah ini maknanya kami berdua je buat. Kalau dulu masa muda boleh siap tiga hari, sekarang dah 59 tahun cepat penat. Mungkin ambil masa seminggu untuk bersih sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, berlaku kejadian runtuhan tebing di Kampung Batu 17, Dusun Tua Seberang pada petang Khamis yang melibatkan lapan penduduk termasuk tiga kanak-kanak dan seorang warga emas.

Pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Bandar Tun Hussein Onn bersama pihak polis telah digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah turut hadir meninjau keadaan dan menghulurkan bantuan awal, termasuk pemasangan kanvas bagi mengelakkan runtuhan susulan.

Sementara itu, InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan paras air Sungai Serai di Batu 12 telah mencatatkan bacaan 43.85 meter, melepasi paras bahaya 42.4 meter.

Jumlah hujan terkumpul direkodkan sebanyak 10 milimeter sehingga jam 9.08 malam Khamis.

Dalam satu video yang tular di media sosial, kedengaran bunyi siren sebagai amaran bahawa paras air sungai telah melepasi tahap bahaya, dan orang ramai diminta berwaspada.







#banjir #Hulu Langat #Sungai Serai #surut