Banjir: Ibu bapa perlu pantau tahap psikologi anak-anak - Pakar

Hilmi Malik
Disember 25, 2021 11:20 MYT
Tragedi banjir yang menyebabkan kemusnahan teruk mampu memberi kesan trauma kepada anak-anak, kata Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia, Prof Datin Dr Mariani Md Nor.
KUALA LUMPUR : Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memantau tahap psikologi anak-anak mereka apabila berdepan dalam tragedi bencana alam seperti banjir.
Menurut Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, ini berikutan kemusnahan yang berlaku dilihat berpotensi memberikan kesan yang buruk terhadap golongan itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, perhatian anak-anak perlu dialihkan dengan aktiviti-aktiviti lain sekalipun dalam situasi yang terbatas termasuk dalam fasa pasca banjir.
“Bila berlaku banjir elemennya memang air dan kita faham kanak-kanak memang gemar untuk bermain air. Tetapi kita perlu lihat kepada kemusnahan yang berlaku di hadapan mereka.
“Perkara ini sedikit sebanyak memberikan kesan trauma dan tekanan terhadap emosi kanak-kanak,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak diatasi, keadaan tersebut dibimbangi merencatkan pertumbuhan kelompok itu.
“Kita tak mahu kanak-kanak dalam keadaan ketakutan dan tidak yakin dengan keadaan sekeliling jadi ibu-bapa perlu cari apa aktiviti yang boleh dilakukan.
“Peralatan sekolah mungkin musnah tetapi jika dapat diusahakan aktiviti seperti mewarna dan sebagainya maka ia sangat membantu,” katanya lagi.
#banjir #Kanak-kanak #trauma #psikologi