MALAYSIA

Banjir Indonesia: Kenderaan dinaiki Asrul Nizam dihanyutkan, tiga lagi rakyat Malaysia gagal dihubungi

Umavathi Ramayah 01/12/2025 | 12:30 MYT
Berdasarkan maklumat awal, Asrul Nizam Apridwson menaiki kenderaan itu bersama tujuh rakyat Indonesia yang dipercayai ahli keluarganya. - Gambar Ernalis Alam Shah
KUALA LUMPUR : Kenderaan rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, yang dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia, Khamis lalu dipercayai dihanyutkan runtuhan tanah tersebut.


Ringkasan AI
  • Kenderaan rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, yang dikhuatiri hilang dalam tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, dipercayai dihanyutkan runtuhan tanah tersebut.
  • Asrul Nizam bersama tujuh rakyat Indonesia dipercayai ahli keluarganya; empat rakyat Indonesia dikesan, manakala operasi mencari Asrul dan tiga lagi penumpang masih giat diteruskan.
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan tiga rakyat Malaysia gagal dihubungi sejak Khamis lalu, dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara; Konsulat sedang bekerjasama dengan pihak tempatan untuk bantuan yang diperlukan.


Konsulat Jeneral Malaysia di Medan memaklumkan, berdasarkan maklumat awal, Asrul Nizam, menaiki kenderaan itu bersama tujuh rakyat Indonesia yang dipercayai ahli keluarganya.

"Daripada lapan penumpang itu, empat rakyat Indonesia berjaya dikesan, manakala operasi mencari Asrul serta tiga lagi penumpang lain masih giat diteruskan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia memberitahu, ibu bapa Asrul Nizam kini berada di Padang untuk mengikuti rapat perkembangan terkini usaha pencarian anak mereka.

"Kita menyediakan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada keluarga sepanjang keberadaan mereka di lokasi," ujarnya.

Difahamkan, Asrul Nizam yang berusia 30 tahun dan masih bujang, menetap bersama ibunya di Sungai Buloh, Selangor dan bekerja sebagai peniaga makanan.

Dalam perkembangan berasingan, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan turut mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi sejak Khamis lalu.

Maklumat awal mendapati ketiga-tiga mereka, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, berusia antara 63 dan 64 tahun, dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara ketika kejadian bencana tersebut.

"Konsulat Jeneral sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan lokasi mereka dan memberikan bantuan yang diperlukan," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Konsulat Jeneral Malaysia menasihati rakyat Malaysia di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh agar berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Bagi mereka yang berada di Indonesia dan berdepan kesukaran menghubungi ahli keluarga, mereka digalakkan untuk segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan ramalan cuaca buruk dijangka berterusan di rantau tersebut.




#tanah runtuh #cuaca buruk #peniaga makanan #pbt