[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Banjir: Jambatan Peralong tenggelam, akses penduduk Orang Asli terputus

Bernama 26/11/2025 | 00:00 MYT
Jambatan sementara merentasi Sungai Peralong dibina bagi menghubungkan penduduk Orang Asli di beberapa penempatan pedalaman yang terputus hubungan selepas jambatan asal runtuh akibat kepala air pada 19 Nov lalu. --fotoBERNAMA
GUA MUSANG: Kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama di situ dinaiki air berikutan hujan berpanjangan sejak Isnin.

Penghulu Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A Rodzi Asod berkata paras Sungai Nenggiri yang terus meningkat itu telah menenggelamkan jambatan sementara yang merentasi Sungai Peralong di Kuala Betis, laluan yang menghubungkan penduduk dari Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob.

"Saya dimaklumkan oleh beberapa tok batin di kawasan pedalaman termasuk Lojing, Pos Bihai dan Pos Belatim bahawa cuaca di sana masih hujan hingga kini.

"Setakat pagi tadi, paras Sungai Nenggiri terus menunjukkan peningkatan dan di Kuala Betis terdapat beberapa kawasan yang mula dinaiki air serta tidak dapat dilalui penduduk, termasuk jambatan Sungai Bawik di Kampung Bawik, jambatan Sungai Kalek di Kampung Jias serta semua jambatan yang menghubungkan Kampung Seladak, Kampung Langsat dan Kampung Depak," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rodzi berkata walaupun beberapa laluan terjejas, situasi ketika ini masih terkawal dan kediaman penduduk belum dinaiki air.

"Setakat ini, penduduk masih belum terjejas dan berada di zon hijau, namun kami sudah bersiap siaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk," katanya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Belatim, Rahimi Dolah, 46, berkata hujan selama tiga hari berturut-turut menyebabkan jalan di kawasan pedalaman menjadi becak dan berselut tebal.

"Hujan kadang-kadang turun lebat dan berpanjangan sejak Ahad hingga hari ini menyebabkan tanah menjadi lembut dan rosak. Penduduk di pedalaman kini lebih berhati-hati dan mengehadkan aktiviti mencari hasil sungai kerana bimbang risiko kejadian kepala air," katanya.

Tinjauan Bernama setakat petang semalam mendapati hujan masih turun di kawasan bandar Gua Musang, manakala mendung di Kuala Betis.

-- BERNAMA


#sungai nenggiri #Orang Asli #jambatan tenggelam #banjir #monsun timur laut