JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor menunjukkan peningkatan dengan 5,528 mangsa banjir daripada 1,536 keluarga yang ditempatkan di 58 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah negeri ini, setakat jam 12 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga PPS baru dibuka melibatkan dua di Mersing dan satu PPS di Kota Tinggi.

"PPS di Mersing yang dibuka ialah SK Bandar Mersing dan SA Bukit Timbalan yang masing-masing menempatkan 11 dan 9 mangsa banjir. Manakala di Kota Tinggi satu PPS baru dibuka di SK Tun Dr Sayed Nasir yang jumlah mangsanya masih dikemas kini.

"Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 21 PPS dibuka menempatkan 1,811 mangsa banjir yang melibatkan 508 keluarga," menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi jumlah ini diikuti jumlah mangsa banjir di Kluang, seramai 1,266 mangsa banjir daripada 356 keluarga ditempatkan di 12 PPS.

"Kota Tinggi menempatkan 744 mangsa banjir daripada 183 keluarga di lapan PPS.

"Daerah Mersing juga menunjukkan trend meningkat yang menempatkan 1,173 mangsa banjir daripada 359 keluarga di sembilan PPS.

"Manakala Batu Pahat menempatkan 299 mangsa banjir daripada 79 keluarga ditempatkan di empat PPS," katanya.

LIPUTAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI 


Jelas Azmi, daerah Muar kekal dengan tiga PPS yang menempatkan 217 mangsa banjir daripada 47 keluarga.

Katanya, Pontian kekal menempatkan 18 mangsa banjir daripada 4 keluarga di satu PPS.

"Setakat ini terdapat lima jalan utama yang ditutup di negeri ini akibat ditenggelami air banjir dan terlibat cerunan runtuh.

"Ia melibatkan tiga jalan di daerah Mersing iaitu Jalan Jemaluang- Batu Pahat, Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu dan Jalan Tanah Abang yang tidak boleh dilalui sebarang kenderaan termasuk kenderaan berat.

"Manakala Jalan Sungai Tiram- Ulu Tebrau juga ditutup ekoran tanah runtuh yang melibatkan 12 meter cerunan yang runtuh di bahu jalan di Kulai.

"Di Segamat pula, Jalan Jabi - Bukit Tempurung turut ditutup kepada semua kenderaan," katanya.