MALAYSIA

Banjir Johor: Mangsa meningkat kepada 3,000, dua lagi PPS dibuka

Siti Nur Aqilla Omar 24/01/2023 | 23:45 MYT
Dua penduduk membersihkan laluan air yang tersumbat di bahu jalan bagi memudahkan air mengalir di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus meningkat mencecah angka 3,058 setakat jam 4 pagi ini, melibatkan empat daerah iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani, kesemua mereka ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, seramai 1,392 mangsa banjir daripada 393 keluarga ditempatkan di 13 PPS di Segamat.
Selain Segamat, Kluang turut terjejas teruk dengan dua lagi PPS dibuka.
"Di Kluang, penambahan dua PPS menjadikan 11 PPS dibuka di daerah itu yang menempatkan 853 mangsa banjir daripada 249 keluarga.
"Kota Tinggi pula mencatatkan 549 mangsa banjir daripada 136 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.
"Daerah terbaru dilanda banjir, Mersing, juga membuka dua PPS yang menempatkan 264 mangsa daripada 97 keluarga," kata Azmi, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, menerusi kenyataan hari ini.
Anggota penyelamat membantu mangsa yang terperangkap akibat banjir di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, semalam. - Foto ihsan bomba
BACA: Kontraktor guna traktor bantu mangsa banjir setiap kali bencana menimpa
BACA: Bomba selamatkan tiga beradik atas bumbung kereta
Sementara itu, lapan sungai di Johor mencatat aras bahaya dan aras amaran.
Sungai yang catatannya melebihi aras bahaya ialah Sungai Segamat, Sungai Gemas, Sungai Lenik, Sungai Kahang dan Sungai Endau.
Manakala lagi tiga sungai yang berada pada aras amaran ialah Sungai Muar, Sungai Sarang Buaya dan Sungai Pontian Besar.
#banjir #PPS #paras air sungai #mangsa banjir