Banjir Johor: Sungai, perparitan cetek jadi punca

Sinar Harian
Januari 24, 2023 21:45 MYT
Sharifah Azizah (duduk, kanan) melawat keluarga mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Bentong, Kluang, pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KLUANG: Masalah sungai dan sistem perparitan cetek menjadi punca banjir di Kampung Bentong dan Kampung Tengah Dalam, pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, hujan lebat mengakibatkan sungai dan parit di kampung berkenaan melimpah sekali gus mengakibatkan banjir.
"Sungai yang cetek perlu didalam dan dilebarkan lagi. Begitu juga sistem perparitan yang kecil belakang rumah penduduk tidak dapat menampung kapasiti air apabila hujan.
"Apabila parit berkenaan penuh dapat dilihat air tidak mengalir. Kita dapat lihat parit depan rumah besar tapi belakang rumah kecil.
"Kita perlukan dana daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengatasi masalah di dua kampung ini yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, beliau melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Bentong, semalam.
Turut hadir, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan pelawak Shahrol Shiro yang merupakan anak kelahiran daerah ini.
BACA: Banjir Johor: Tiga sungai rekod paras bahaya
BACA: Mersing jadi daerah terbaharu terjejas banjir, mangsa melonjak kepada 2,912 orang
Setakat jam 8 malam tadi, terdapat 300 mangsa banjir melibatkan 84 keluarga dari Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam, Kampung Muhibbah dan Perumahan SPKR Yap Tau Sah yang dipindahkan ke enam PPS, di sini sejak pagi semalam.
Mengulas lanjut, Sharifah Azizah mahu Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah mencari jalan menyelesaikan masalah banjir. - Sinar Harian
#banjir #Sharifah Azizah Syed Zain #Sungai #sistem perparitan cetek