KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terjejas banjir kekal 455 orang, setakat 12 tengah hari ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa termasuk 274 orang daripada 83 keluarga yang berlindung di empat PPS di Sabah iaitu di daerah Beluran (113 orang di tiga PPS) dan Sandakan (161 orang di sebuah PPS).

Jumlah mangsa di Pahang kekal 103 orang daripada 34 keluarga di sebuah PPS di Rompin, manakala Johor pula 78 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS iaitu di Segamat (63 orang di dua PPS) dan Batu Pahat (15 orang di sebuah PPS).

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Pahang, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya tengah hari ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat manakala di Pahang pula membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin, selain Sungai Arau (Perlis) dan Sungai Terengganu (Hulu Terengganu, Terengganu).

Selain itu, terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Bukit Besi-Dungun, Terengganu, Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor dan di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak).

NADMA turut memaklumkan jumlah mangsa masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga susulan insiden kebakaran.

-- BERNAMA