MALAYSIA

Banjir kilat: 17 mangsa dipindahkan ke sebuah PPS di Gua Musang

Bernama 04/11/2025 | 01:25 MYT
Hujan lebat berterusan lebih dua jam menyebabkan beberapa jalan utama di bandar Gua Musang dilanda banjir. - Foto Sinar Harian
GUA MUSANG: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini malam tadi, bagi menempatkan mangsa banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak petang semalam.


Ringkasan AI
  • Seramai 17 mangsa daripada 11 keluarga di Felda Chiku 5 dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat lebih tiga jam.
  • Hujan bermula sekitar 7 malam menyebabkan limpahan air di Jalan Gua Musang-Lojing dan Gua Musang-Kuala Krai serta lima kawasan perumahan.
  • Saliran tidak mampu menampung hujan lebat dalam masa singkat; keadaan dilaporkan semakin pulih pada pagi ini.


Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memaklumkan sebanyak 17 mangsa daripada 11 keluarga di Felda Chiku 5 telah dipindahkan ke PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata hujan lebat bermula kira-kira 7 malam itu, turut menyebabkan beberapa kawasan perumahan serta jalan utama dinaiki air secara mendadak.

Beliau berkata hujan berterusan menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang serta Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Persimpangan Lampu Isyarat Bendahara, dilimpahi air.

"Selain itu, lima kawasan perumahan turut terjejas iaitu di Kesedar Paloh 1, Paloh 3, Chalil, Felda Chiku 3 dan Felda Chiku 5," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata limpahan air itu dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang tidak mampu menampung jumlah air hujan yang tinggi dalam tempoh singkat.

Setakat pagi ini, hujan telah berhenti dan keadaan dilaporkan semakin baik.

-- BERNAMA





#banjir kilat #hujan lebat #PPS #mangsa