SIK: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Surau Kampung Belimbing di daerah Sik bagi menempatkan lima mangsa banjir kilat daripada satu keluarga.

Ini menjadikan jumlah PPS yang dibuka di daerah ini adalah sebanyak tiga PPS melibatkan 72 mangsa daripada 15 keluarga setakat jam 8 pagi hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS Surau Kampung Belimbing dibuka pada jam 11 malam tadi manakala dua lagi PPS dibuka pada waktu sama disebabkan paras air semakin meningkat.

Beliau berkata, antara kampung terjejas adalah Kampung Banggol Kiat, Taman Derdap, Kampung Jerai, Kampung Belimbing, Kampung Seberang Pekan Sik, Kampung Kemelong di Mukim Sik manakala Kampung Pinang dan Kampung Surau di Mukim Sok.

"Kesemua mangsa kini masih ditenpatkan di tiga PPS berkenaan dan anggota APM Sik masih melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, pihaknya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah di daerah Sik khususnya supaya berpindah sekiranya paras air semakin meningkat.

Hujan lebat melebihi dua jam lewat petang Ahad menyebabkan beberapa kawasan di deerah ini dilanda banjir kilat.