AYER KEROH: Seramai 321 mangsa membabitkan 73 keluarga di dua daerah di Melaka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Kesemua mangsa melibatkan enam kawasan di daerah Melaka Tengah dan lima kawasan di Alor Gajah dipindahkan ke empat PPS.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan pada Isnin berkata, empat PPS terbabit ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai yang menempatkan 102 mangsa daripada 22 buah keluarga, SMK Tun Mutahir seramai 124 mangsa daripada 26 keluarga dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Tanjung Minyak dengan 40 mangsa daripada 12 buah keluarga.

Manakala satu PPS di daerah Alor Gajah ialah di Dewan Japerun Durian Tunggal yang menempatkan seramai 55 mangsa daripada 13 keluarga.

Daerah Melaka Tengah merupakan yang paling teruk terjejas dengan enam kawasannya dilanda banjir selepas berlaku limpahan air dari sungai berhampiran.

Antara kawasan terbabit adalah Kampung Sungai Putat, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak, Taman Bukit Beruang Bestari dan Taman Bukit Beruang.

Lima kawasan di daerah Alor Gajah yang terjejas pula ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Durian Tunggal Dan Taman Kasawari.

Dua kawasan di Jasin yang turut terjejas ialah di Tanjung Labuh, Tehel dan Lubok Kawah di Bemban, namun tiada PPS dibuka di daerah berkenaan.

Beberapa penduduk yang ditemui di PPS SMK Tun Mutahir memaklumkan, mereka terkejut memandangkan air naik dengan sangat cepat dan memaksa mereka meninggalkan rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi.

Menurut mereka, kejadian tersebut merupakan yang terburuk sejak tempoh lebih 20 tahun yang lalu.