Banjir kilat di Pulau Pinang turut akibatkan hakisan tanah

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 24, 2019 21:52 MYT
Hujan lebat menyebabkan berlaku hakisan tanah sehingga bongkah batu terjatuh ke atas jalan raya. Foto ihsan JBPM/MBPP
Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat pada Khamis, susulan hujan lebat berterusan hingga lewat malam tadi.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan P Ramlee, Jalan Terengganu, Jelutong dan Paya Terubong, termasuk beberapa kawasan di Seberang Perai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh memaklumkan keadaan masih terkawal, bagaimanapun kerajaan negeri bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.
Katanya, pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan pihak berkaitan, dan bantuan juga telah digerakkan ke lokasi terjejas banjir.
BACA: Banjir: Lapan sekeluarga di Bukit Mertajam dipindahkan
Dalam masa sama, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan satu batu besar dianggarkan seberat 500 kilogram (kg) terjatuh di tengah jalan dekat Paya Terubong kira-kira jam 10 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, hujan lebat menyebabkan berlaku hakisan tanah sehingga batu itu terjatuh ke tengah jalan raya.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong berjaya mengalihkan batu itu menggunakan teknik ‘winching’.
Katanya, setakat ini,tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan aliran trafik telah pulih sepenuhnya.
VIDEO: Pulau Pinang dilanda banjir, 200 mangsa dipindahkan
#aliran trafik #angin kencang #banjir #banjir kilat #hakisan tanah #hujan lebat #JBPM #paya terubong #pemantauan #Phee Boon Poh #pulau pinang