KULIM:Hujan lebat sejak jam 4 petang Sabtu telah mengakibatkan kawasan khemah sementara bagi proses ujian saringan COVID-19 dan kawasan saringan kecemasan di Hospital Kulim, Kedah dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Hayati Othman menjelaskan banjir yang berlaku di kawasan berhadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan adalah disebabkan masalah perparitan.

Menurut beliau, hujan lebat yang berlaku telah mengakibatkan air turun dari kawasan letak kereta yang terletak di bahagian atas kawasan khemah tersebut.

Jelas Dr Hayati, pihak Hospital Kulim sebelum ini telah membuat permohonan bagi proses memperbesarkan longkang di kawasan tempat letak kereta berkenaan.

Pihaknya sebelum ini juga telah membangkitkan isu berkenaan semasa lawatannya di Hospital Kulim kepada pihak atasan dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.

Tambah beliau, tempat letak kereta berkenaan juga tidak dapat menampung jumkah air yang terlalu banyak dan memerlukan longkang untuk menyalurkan lebihan air ke tempat lain.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang ketika dihubungi menjelaskan bahawa kejadian banjir kilat yang berlaku di Hospital Kulim telah surut dalam tempoh masa lebih satu jam iaitu sekitar jam 6 petang tadi.

Tambahnya, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan dan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas sedang dilakukan ketika ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa kawasan berkenaan juga boleh digunakan semula selepas kesemua proses pembersihan selesai.