[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Banjir kilat: Kolam tadahan pecah, 35 rumah di Saujana Utama terjejas

Amirul Aiman 23/04/2025 | 02:30 MYT
Pasukan bomba dan penduduk tempatan sedang meninjau kesan banjir kilat yang melanda Taman Seri Alam, Saujana Utama selepas kolam tadahan pecah awal pagi tadi, mengakibatkan kawasan perumahan dinaiki air. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seramai 35 penduduk di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Batang Berjuntai, terjejas akibat banjir kilat pagi ini selepas kolam tadahan Air Hillpark dilaporkan pecah sekitar jam 5:30 pagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 7:26 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya tiba di lokasi pada jam 7:52 pagi, sejauh 25 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi Mohd Amirul Shafiq Mohamad Mahrin, banjir berkedalaman kira-kira satu kaki itu menjejaskan anggaran 35 buah rumah namun tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.
Bagaimanapun, keadaan dilaporkan semakin pulih apabila paras air mula surut dan operasi masih dijalankan dengan kekuatan lima anggota menggunakan satu jentera FRT.
Mohd Amirul Shafiq turut meminta pihak berkuasa menyiasat struktur kolam tadahan tersebut yang sebelum ini pernah dilaporkan bermasalah, agar kejadian serupa tidak berulang.
Seorang wakil penduduk Taman Seri Alam yang hanya dikenali sebagai Sazalie berkata, kejadian berlaku apabila kolam tadahan tidak dapat menampung hujan lebat awal pagi ini, mengakibatkan air melimpah masuk ke kawasan perumahan.
#Saujana Utama #banjir #kolam tadahan pecah #Seri Alam