MALAYSIA

Banjir kilat landa Hulu Langat, beberapa kawasan dinaiki air sejak awal pagi

Astro Awani 14/09/2025 | 23:00 MYT
Antara kawasan yang terjejas termasuk Batu 16, Batu 18, Kampung Sungai Lui dan Sungai Pangsun. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
HULU LANGAT: Beberapa kawasan di Hulu Langat, Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak lewat malam Ahad, menyebabkan laluan utama dan kediaman penduduk terjejas.

Menurut penduduk tempatan, paras air mula naik dari Sungai Langat sekitar jam 4.30 pagi, menyebabkan jalan besar di kawasan tersebut dinaiki air dalam tempoh singkat.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Batu 16, Batu 18, Kampung Sungai Lui dan Sungai Pangsun.

Beberapa rumah berhampiran jalan utama dimasuki air, manakala sebahagian kenderaan yang diparkir turut tenggelam.

Pihak polis telah menutup laluan di kawasan Dusun Tua sebagai langkah keselamatan, dan pemantauan sedang dijalankan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa daripada pihak berkuasa.

Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






#banjir #hujan lebat #sungai langat #kereta tenggelam