SIK: Hujan lebat hampir tiga jam pada sebelah awal pagi mengakibatkan air Sungai Lentang dan Sungai Sok melimpah sehingga menyebabkan lapan kampung di daerah Sik dilanda banjir kilat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, banjir kilat berlaku berikutan hujan lebat sejak jam 1 pagi meningkatkan paras air sungat dengan cepat dan memasuki kediaman penduduk.

Katanya, pihak APM menerima laporan pada jam 1.15 pagi dan lebih 20 anggota dikejarkan ke lokasi didapati air setinggi 0.3 hingga 1 meter memasuki kawasan penduduk.

“Tiga kampung di Mukim Sik iaitu Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing dan Kampung Jerai.

“Manakala lima kampung di Mukim Sok melibatkan Kampung Lentang, Kampung Kuala Betong, Kampung Belantek Dalam, Kampung Surau, Kampung Pinang dan Kampung Landai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Haisul Aishah memaklumkan, pihaknya turut menerima panggilan yang paras air di Kampung Belimbing mencecah sehingga ke paras pinggang dan kerja memindahkan mangsa ke kawasan selamat telah dilakukan.

Katanya, sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kesemua mangsa yang terjejas berpindah sementara ke rumah saudara-mara dan jiran.

Sementara itu Haisul Aishah mengingatkan penduduk yang tinggal berdekatan sungai dan di kawasan yang berisiko banjir supaya bersiap sedia dan memastikan dokumen penting dan barangan berharga disimpan di tempat yang selamat.