SHAH ALAM: Hampir 300 mangsa banjir daripada 56 buah keluarga telah dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8.45 malam, berikutan hujan lebat di sekitar Selangor sejak petang tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapannya di Twitter memaklumkan lapan PPS berkenaan adalah Dewan Camelia Seksyen 10 Putra Height, SK Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35.

"Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya telah digerakkan ke Kampung Tengah, Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Kinrara 1, Taman Kinrara 4 dan Puncak Jalil 8 di Seri Kembangan untuk membantu," katanya.

Banjir Kilat | Penduduk ambil langkah siap sedia

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis dalam satu kenyataan berkata paras air kini semakin menurun di beberapa kawasan yang terjejas banjir di negeri ini.

Beliau berkata antara kawasan yang terkesan termasuk Kampung Gombak, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai di Batu Arang; Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu, Sungai Buloh dan Kampung Gombak Kuang, Rawang yang menjejaskan lebih 50 buah rumah.

Selain itu katanya, banjir turut melanda di Daerah Klang melibatkan kawasan di Persiaran Hamzah Alang, Pekan Kapar, Jalan Teratai, Taman Meru Daya, Jalan Sesenduk Meru, Jalan Cempaka dan Jalan Paip.

Menurutnya hujan lebat menyebabkan air naik sehingga ke paras betis dan memasuki rumah penduduk di sekitar kawasan itu.

-- BERNAMA