Banjir kilat: Mangsa di RPT Chepor terima bantuan wang ehsan RM300

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2022 15:22 MYT
Mangsa banjir, Noryati Hassan, 62, menyelimuti cucunya, Dhia Farisha Rosli, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas beberapa rumah dinaiki air di kawasan Taman Chepor Dalam ekoran kejadian banjir kilat. - Foto BERNAMA
IPOH: Kerajaan negeri Perak telah menyalurkan bantuan khas wang ehsan RM300 kepada mangsa banjir Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor.
Bantuan itu disampaikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kinta di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Penerangan Daerah Kinta petang ini, bantuan wang ehsan itu diberikan kepada 33 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 93 orang.
Kesemua mangsa telah dipindahkan ke PPS itu sekitar jam 11.30 malam Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, banjir kilat yang berlaku di RPT Chepor berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Chepor melimpah.
BACA: Banjir kilat terburuk di RPT Chepor sejak 30 tahun - Mangsa
BACA: Hujan lebat cetus banjir di beberapa kawasan di Ipoh
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik bagi menangani isu ini,” ujarnya.
Katanya, hujan lebat yang berterusan sepanjang malam menyebabkan PPS itu dibuka bagi memindahkan penduduk yang berisiko selepas rumah mereka dinaiki air.
Menurutnya, tindakan awal pelbagai agensi di bawah JPBD Kinta telah dapat mengurangkan risiko bencana yang lebih buruk.
#banjir kilat #RPT Chepor #mangsa banjir #bantuan #Perak #bantuan khas wang ehsan #PPS #hujan lebat #Kinta