Banjir kilat Melaka: Anggota bomba dihanyut arus dilapor stabil

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 20, 2021 12:37 MYT
Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke hospital menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba. - Gambar/ JBPM
AYER KEROH: Anggota bomba yang dikejarkan ke hospital selepas dihanyut arus deras ketika menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, di sini, petang tadi, kini berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain, berkata anggota berusia 46 tahun itu sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang memasang tali di kawasan banjir berkenaan untuk membantu penduduk kampung keluar daripada kediaman masing-masing.
Dia kemudian dikatakan pengsan ekoran arus air yang terlalu deras. Bagaimanapun, jaket dan tali keselamatan yang dipakainya menghalangnya daripada dihanyutkan arus ke tempat lebih jauh.
Banjir | Seorang anggota bomba dihanyutkan arus deras
BACA: Banjir kilat Melaka: Seorang anggota bomba pengsan dihanyut arus deras
Anggota pasukannya kemudian mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari air.
Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke hospital menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.
#banjir kilat #anggota bomba #pengsan #Melaka