JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mencari penyelesaian banjir kilat di lokasi tumpuan.

Katanya, beliau turut meminta PBT tersebut meningkatkan persediaan menghadapi musim banjir.

"Antara kerja yang sedang dan akan dilaksana MBJB di Johor Bahru termasuk menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sg. Chat.

"Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu, iaitu di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin.

"Pembersihan sampah sarap (juga digerakkan) di trash screen dan (pembersihan) mendapan di dasar Sungai Chat.

"(Selain itu) Menambah pembinaan wier di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda," katanya menerusi hantaran di media sosial selepas melawat beberapa lokasi banjir di sini, hari ini.

Jelas Onn Hafiz, di Iskandar Puteri pula, kerja yang akan dilaksana MBIP termasuk melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"(Antara projek dilaksana adalah) Melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Serta membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat oleh JPS," katanya.