Banjir kilat, pokok tumbang jejas 10 mangsa di Taiping

Aida Aziz
Mei 11, 2024 00:22 MYT
Anggota dari PKOD APM Taiping berada di lokasi bagi membuat pemantauan susulan banjir kilat yang berlaku di Kampung Wawasan, Trong, Taiping, petang semalam. - Foto APM Perak
TAIPING: Hujan lebat berterusan disusuli angin kencang menyebabkan banjir kilat serta pokok tumbang menghempap rumah di Kampung Wawasan, Trong, di sini, semalam.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Taiping, kejadian berlaku sekitar jam 6.15 petang.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Penghulu Mukim Trong berhubung insiden tersebut.
"Dua buah rumah dinaiki air dan salah sebuah daripadanya dihempap pokok yang tumbang.
"Seramai 10 orang mangsa yang terjejas akibat kejadian tersebut, bagaimanapun tiada mangsa yang cedera," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Susulan itu, katanya, tiga anggota dari PKOD APM Taiping bergerak ke lokasi bagi membuat pemantauan.
"Tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka setakat ini dan air mulai surut," tambahnya.
#dihempap pokok #banjir kilat #Taiping #hujan lebat