Banjir kilat: Satu PPS dibuka di Bandar Baharu tempatkan 23 mangsa

Adie Sufian Zulkefli
Disember 13, 2021 16:56 MYT
PPS ini mula dibuka pada jam 8 malam selepas hujan lebat sejak jam 3.15 petang menyebabkan air melimpah sehingga memasuki rumah penduduk di Mukim Bagan Samak. - Foto ihsan APM
BANDAR BAHARU: Hujan lebat melebihi satu jam ditambah dengan saliran parit tersumbat menyebabkan berlaku banjir kilat di daerah Bandar Baharu malam tadi.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, 23 mangsa daripada 11 keluarga kini ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu.
“PPS ini mula dibuka pada jam 8 malam selepas hujan lebat sejak jam 3.15 petang menyebabkan air melimpah sehingga memasuki rumah penduduk di Mukim Bagan Samak.
"21 buah rumah dimasukki air sedalam 0.5 meter antaranya Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Taman Cahaya Nilam dan kawasan sekitar Sungai Tepus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya, sehingga jam 12 tengah malam pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air dan membantu mengepam air keluar dari rumah penduduk yang dimasuki air.
#banjir kilat #Bandar Baharu #PPS #Pusat Pemindahan Sementara #SK Sungai Kechil Ulu #angkatan pertahanan awam