Banjir kilat: Sebahagian Jalan Bagan Serai - Selama ditutup

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 21, 2019 02:59 MYT
Banjir disebabkan air Sungai Beriah dan Sungai Kerian melimpah ekoran hujan lebat sejak petang Ahad. Foto ihsan JKR
Banjir kilat yang berlaku sejak petang Ahad menyebabkan sebahagian Jalan Bagan Serai - Selama di laluan FT147 ditutup kepada semua jenis kenderaan.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, seksyen jalan yang ditutup itu ialah antara Kilometer 15 - 16 selepas dinaiki air kira-kira 0.3 meter.
Menurutnya, penutupan bermula dari Seksyen 10.5 Tol Alor Pongsu sehingga Seksyen 19.3 Changkat Lobak.
“Banjir disebabkan air Sungai Beriah dan Sungai Kerian melimpah ekoran hujan lebat sejak petang semalam,” katanya di sini.
Abdul Yunus berkata, pengguna boleh menggunakan jalan alternatif di jalan pintasan Jalan Alor Pongsu - Bukit Merah.
Menurutnya, pemantauan dari masa ke semasa oleh JKR daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan.
#Abdul Yunus Jamhari #air #Bagan Serai #banjir #Exco #hujan lebat #jalan dinaiki air #jalan ditutup #Selama #sungai melimpah