[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Banjir: KPM laksana pemantauan berterusan pastikan kesiapsiagaan, keselamatan

Bernama 17/09/2025 | 06:00 MYT
Sebanyak 53 institusi pendidikan terjejas akibat banjir iaitu 24 sekolah rendah serta lima sekolah menengah di Sabah dan 22 sekolah rendah serta dua sekolah menengah di Sarawak. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pemantauan berterusan terhadap situasi banjir dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kesiapsiagaan, keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga pendidikan khususnya di kawasan terjejas di Sabah dan Sarawak.


Ringkasan AI
  • KPM terus memantau situasi banjir di Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta warga pendidikan.
  • Sebanyak 53 institusi pendidikan terjejas, dengan enam pusat pemindahan sementara beroperasi di premis KPM.
  • KPM merakamkan takziah kepada keluarga empat murid yang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh, susulan hujan lebat berterusan.


KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Jabatan Pendidikan Sabah dan Jabatan Pendidikan Sarawak sedang menyalurkan bantuan kecemasan kepada semua institusi pendidikan yang terjejas akibat bencana itu.

Kenyataan itu memaklumkan setakat 8 pagi tadi, sebanyak 53 institusi pendidikan di kedua-dua negeri terjejas akibat banjir iaitu 24 sekolah rendah serta lima sekolah menengah di Sabah dan 22 sekolah rendah serta dua sekolah menengah di Sarawak.

"Sebanyak enam pusat pemindahan sementara di premis institusi pendidikan KPM sedang beroperasi iaitu lima di Sabah dan satu di Sarawak," katanya.

KPM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga empat murid yang terkorban akibat bencana banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah.

"Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini," menurut kenyataan itu.

Pada Isnin lepas, sembilan individu maut dalam insiden tanah runtuh di Kota Kinabalu dan Papar susulan hujan lebat berterusan sejak malam Ahad.

-- BERNAMA





#Kementerian Pendidikan #banjir #Sabah #pemantauan berterusan