ALOR SETAR: Hujan berterusan lebih tiga jam sejak lewat petang semalam mengakibatkan tiga daerah di Kedah dilanda banjir.

Daerah terbabit adalah Kubang Pasu, Kota Setar dan Baling, melibatkan seramai 267 mangsa daripada 87 keluarga yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, empat PPS baru dibuka malam tadi.

Satu PPS dibuka di daerah Kota Setar, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, manakala tiga lagi di daerah Baling iaitu di SK Tanjung Pari, SK Sri Bayu dan SK Siong.

“Manakala satu PPS di Kubang Pasu, iaitu di SK Binjai, masih aktif sejak dibuka Rabu lalu, menempatkan seramai 86 mangsa daripada 26 keluarga.

“PPS SK Suka Menanti di Kota Setar diaktifkan jam 7.30 malam tadi menempatkan 73 mangsa daripada 21 keluarga dari Kampung Alor Gunong, Mukim Pumpong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu di Baling, seramai 108 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di tiga PPS yang diaktifkan sejak jam 10 malam tadi.

Antara kampung yang terjejas adalah di Mukim Siong, yang melibatkan 16 keluarga di Kampung Siput, Kampung Batu 8 (16), Kampung Tanjung Pari (14), Kampung Sri Ketengga (sembilan), Kampung Memali (satu), Kampung Bukit Sebelah (18), Kampung Cenerai (empat) dan Kampung Lalang (dua).