Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan laporan awal mengenai punca sebenar berlakunya banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi lain akan memantau kawasan berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar banjir lumpur itu berlaku.

Fadillah juga tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti pembalakan di kawasan tersebut kerana terdapat kayu balak yang dihanyutkan ke atas jalan bersama banjir lumpur.

"Melihatkan daripada kayu-kayu balak yang dibawa keluar oleh trak pembersihan di sini, maknanya terdapat aktiviti pembalakan berlaku di kawasan sekitar.

"Kami juga akan berbincang bersama JKR negeri Pahang dan Kerajaan Negeri sendiri bagi mencari punca sebenar berlakunya kejadian ini," katanya pada sidang media di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua hari.