BAGAN DATUK: Selepas menghadapi banjir termenung atau banjir genang, mangsa di Daerah Bagan Datuk kini berdepan pula dengan fenomena air pasang besar.

Fenomena itu menyebabkan mereka masih tidak dibenarkan pulang walaupun cuaca baik sejak beberapa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini terdapat 26 mangsa dari 12 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat.

"Kita lihat sehari dua ini, Alhamdulillah cuaca makin baik dan air ada menunjukkan surut tetapi disebabkan fenomena air pasang.

"Saya mendapat taklimat daripada bahagian JPS mengatakan bahawa air ini tidak boleh keluar secara semula jadi di mana ada sebab-sebab faktor-faktor tadi dan air tu agak perlahan.

"Maka mereka terpaksalah mungkin tidak berapa lagi lagi, dua tiga hari berada di sini untuk pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!



Beliau ditemui ketika melawat dan menyampaikan bantuan kotak makanan kepada mangsa banjir di SK Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk, pada Khamis.


PPS itu dibuka pada 16 Disember lalu bagi menempatkan penduduk daripada lima kampung iaitu Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang Darat, Kampung Sungai Nipah Darat, Kampung Parit Mati dan Kampung Tebuk Haji Karim.

Ia juga merupakan satu-satunya PPS yang masih dibuka di Perak.


Mohd Yusri memberi jaminan bahawa pihak polis sentiasa membuat rondaan berkala di kawasan-kawasan banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan kejadian pecah rumah di kawasan banjir di seluruh Perak.