IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak menurun sedikit kepada 379 orang daripada 107 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 386 orang daripada 111 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Kerian dan Hilir Perak.

Menurut sekretariat itu jumlah mangsa di Kerian kekal dengan 100 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu.

"Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 171 penduduk daripada 50 keluarga, manakala 51 orang daripada 14 keluarga berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI)," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong menurun, namun masih berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.74 meter berbanding paras normal iaitu dua meter.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, laluan F 193 Jalan Proton City di Daerah Mualim juga terhalang di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

-- BERNAMA