KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir terus meningkat setakat jam 11 malam tadi, iaitu seramai 27,743 berbanding 25,478 orang yang direkodkan pada petang Selasa.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada 8,355 keluarga itu ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara.

Kelantan dan Terengganu masing-masing mencatat jumlah mangsa seramai 17,321 dan 9,986.

Menurut Sekretariat JPBN Kelantan, jajahan Pasir Puteh menjadi lokasi terbaharu terjejas banjir selepas Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu.

Manakala di Terengganu, 113 PPS dibuka di daerah Dungun, Marang, Setiu, Hulu Terengganu, Kemaman serta Besut.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir ditempatkan di enam PPS, menurun kepada 333 mangsa.

Di Johor, satu PPS dibuka menempatkan 83 mangsa.

Sementara di Sabah, dua PPS dibuka menempatkan 16 mangsa dari sembilan keluarga.

Di Selangor pula, empat mangsa daripada sebuah keluarga berlindung di PPS Dewan Dato Hormat Kg Seri Cheeding, Kuala Langat.