SHAH ALAM: Masjid dan rumah ibadat bukan Islam di beberapa kawasan di Selangor kini dijadikan tempat transit tidak rasmi untuk pengumpulan barang-barang bantuan daripada pelbagai pihak sebelum diedar kepada mangsa banjir.

Tinjauan Bernama di beberapa masjid, surau dan kuil mendapati ada antaranya turut ditenggelami air tetapi telah dibersihkan sebaik air surut.

Timbalan Pengerusi Masjid Al-Falah Taman Sri Muda, Seksyen 25, Mohd Noor Awang, 56, berkata pihaknya menerima segala bentuk bantuan dan maklumat berkenaan sumbangan itu akan disebar menerusi WhatsApp kepada penduduk.

"Orang bagi saya terima dan kami akan maklumkan dalam kumpulan (Whatsapp) komuniti, bagi yang perlukan barang dapur, pakaian bayi dan wanita dan sebagainya datanglah ambil di sini," katanya sambil menambah terdapat dua masjid dan enam surau di kawasan Taman Sri Muda yang terjejas akibat banjir.

Tinjauan di Kampung Labohan Dagang, Banting pula mendapati keadaan sama apabila kesemua masjid dan surau terkesan dalam kejadian banjir besar itu dijadikan tempat penempatan barangan bantuan untuk mangsa banjir.

Nazir Masjid Al Mutmainnah Nor Azni Sanot, 56, berkata masjid yang hampir siap dicuci selepas air surut semalam kini dijadikan tempat tidak rasmi pengagihan bekalan bantuan berikutan pusat pemindahan sementara terdekat tidak dapat menampung jumlah barangan bantuan yang diberikan.

Beliau berkata buat masa ini terdapat banyak lambakan pakaian terpakai namun apa yang diperlukan oleh mangsa banjir adalah tilam, bantal, alas tidur (toto) serta kelengkapan solat.

Pemerhatian di beberapa lokasi kampung itu mendapati penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad turut dilihat berada di Kampung Labohan Dagang membantu mangsa banjir di kawasan itu.

Sementara itu, pelbagai bantuan diterima pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda dan pelbagai kaum datang membantu membersihkan kawasan kuil serta mengedarkan barang-barang bantuan.

Menurut Bendahari Kuil Sri Maha Mariamman M. Sukumaran, 50-an, bencana banjir itu menyatupadukan masyarakat sebagai sebuah komuniti berbilang kaum.

"Saya tidak tahu dari mana bantuan semua ini datang hari ini, ada orang Melayu, orang Cina dan semua orang ini datang untuk tolong bersihkan kuil kami dan juga mengedarkan bantuan kepada penduduk di sini. Orang tidak kira kaum dan agama bersatu untuk membantu satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA