KUANTAN: Seorang mangsa banjir yang dilaporkan hilang sebelum ini disahkan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Ladang Blok 10, Felda Chini 2, Pekan, Pahang pada Khamis.

Mayat mangsa Rostam Che Su, 34, yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 11.05 pagi ini berjaya ditemukan di kawasan sebuah ladang kelapa sawit pada pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Komander Operasi  Pegawai Bomba Kanan II Azlan Ahmad, mangsa sebelum itu telah keluar ke ladang bersama bapanya dengan menaiki motosikal secara berasingan.

Namun sewaktu meredah air banjir yang melimpah di atas jalan berhampiran kawasan parit, mangsa dikatakan telah hilang sebelum disedari oleh bapa mangsa.

Setelah dibuat pencarian di kawasan tersebut, bapa mangsa hanya menemukan motosikal anaknya itu sahaja dan kemudiannya membuat laporan.

Bagaimanapun pada jam 3:30 petang tadi, Pasukan Penyelamatan di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan telah membuat selaman di lokasi mangsa terjatuh dan setelah menyelam selama 10 minit, mangsa ditemukan di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter.

Mayat mangsa kemudiannya berjaya dinaikkan dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut