Banjir: MBI sedia RM2 juta peruntukan tambahan selenggara longkang, sungai, kolam tadahan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 4, 2022 05:13 MYT
Rumaizi bercakap kepada pemberita ketika meninjau projek sambungan jalan utama Meru Raya - Klebang di Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar kawasan pentadbirannya.
Ia sebagai tambahan kepada RM1.5 juta yang disediakan sebelum ini untuk projek infrastruktur bagi kerja-kerja pencegahan banjir.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peruntukan itu bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan pengorekan longkang, sungai serta kolam tadahan.
Menurutnya, kerja-kerja itu telah dimulakan sejak Oktober lalu, khususnya di kawasan-kawasan yang sering mengalami banjir kilat.
“Kita dan mula kerja-kerja pembersihan dan mencuci longkang sejak Oktober lalu.
“Malah, pengorekan untuk mendalamkan sungai juga kita sudah lakukan bulan lalu di samping mencuci kolam tadahan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau projek sambungan jalan utama Meru Raya - Klebang di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini terdapat lebih 70 buah kolam tadahan di sekitar Bandaraya Ipoh, termasuk milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, MBI juga turut membina dua rumah pam baharu di Kawasan Industri Bercham dan Taman Pengkalan Harapan, sebagai tambahan kepada enam yang sedia ada.
Sementara itu, Rumaizi memberitahu, projek sambungan jalan utama Meru Raya - Klebang melibatkan kos lebih RM11 juta, termasuk RM4.2 juta proses pengambilan tanah.
Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan secara perkongsian bijak antara MBI dan beberapa buah syarikat pemaju perumahan.
Jelasnya, kos pengambilan tanah ditanggung oleh kerajaan negeri manakala kos lain ditanggung oleh pemaju perumahan berkenaan.
“Pihak MBI menjangkakan selepas jalan ini dibina dan disambungkan ia akan memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya daripada Meru ke kawasan Klebang dan merancakkan aktiviti pembangunan perumahan di kawasan sekitar,” ujarnya.
Tambahnya, pihak MBI juga menjangkakan dalam tempoh lima tahun, dianggarkan lebih kurang 1,700 buah rumah dan lot komersial akan dibangunkan oleh pihak pemaju di sekitar kawasan berkenaan.
#Majlis Bandaraya Ipoh #banjir kilat #Rumaizi Baharin #peruntukan tambahan