Angka mangsa banjir di negeri Melaka terus meningkat dua kali ganda berbanding 187 mangsa pada pagi tadi kepada 504 mangsa yang melibatkan 111 keluarga setakat 6 petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, kesemua mangsa itu ditempatkan di lapan pusat pemindahan termasuk dua yang baru dibuka di alor gajah petang ini.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang baru dibuka ialah tadika JAIM Kampung Pulau dan balairaya Kampung Pulau Alor Gajah.

"Selain Sekolah Kebangsaaan Tehel dan balairaya Seri Mendapat di Jasin dan balairaya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah yang telah dibuka sejak jumaat lalu, kita buka lagi tiga pusat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Dang Anum dan Sekolah Kebangsaan Tedong di Jasin dan balairaya Bukit Balai tengahari tadi.

"Sehingga petang ini kita buka lagi dua pusat di Alor Gajah iaitu di Tadika Jaim Kampung Pulau dan balairaya Kampung Panchor yang menempatkan 68 pelajar sekolah Tahfiz," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini daerah Jasin paling teruk terjejas dengan melibatkan 411 mangsa daripada 103 mangsa berbanding 93 mangsa yang membabitkan lapan mangsa di Alor Gajah.

Effendy yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, buat masa ini pihaknya sedang memantau keadaan banjir di beberapa kawasan lain termasuk di daerah Melaka Tengah memandangkan keadaan hujan yang masih berterusan dan dibimbangi boleh menyebabkan banjir kembali di kediaman penduduk.

Dalam pada itu katanya, kesemua mangsa banjir akan ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sehingga keadaan pulih dan keperluan asas termasuk makan minum akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).