Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: 15 pendaki Malaysia Gunung People selamat di Annapurna Base Camp

GUNUNG PEOPLE_GUNUNG PEOPLE
Terima kasih kepada semua yang mengambil berat. Apa yang Nana boleh jelaskan, setakat ini kami semua berada dalam keadaan baik dan selamat di kawasan gunung, ujar Nana Jaapar.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 15 pendaki rakyat Malaysia daripada kumpulan Gunung People yang berada di Annapurna Base Camp, Nepal dilaporkan selamat.

Ketua rombongan, Nana Jaapar berkata, semua anggota kumpulan itu kini dalam perjalanan turun selepas berjaya tiba di lokasi berkenaan.

“Alhamdulillah, kami semua selamat dan sedang turun dari Annapurna Base Camp. Doakan kami semua dan usah risau, kami akan turun dengan selamat,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Nana berkata, beliau menerima banyak mesej, panggilan dan pertanyaan susulan berita mengenai kejadian di Nepal.

“Terima kasih kepada semua yang mengambil berat. Apa yang Nana boleh jelaskan, setakat ini kami semua berada dalam keadaan baik dan selamat di kawasan gunung, Alhamdulillah.

“Kawasan kejadian itu jauh dari kami. Titipkan doa agar kami dapat keluar dari gunung dengan selamat dan dipermudahkan untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurut Nana, lokasi banjir kilat yang melanda Nepal berada jauh dari laluan kumpulan itu dan tidak menjejaskan perjalanan mereka setakat ini.

Kesemua pendaki turut memaklumkan perkembangan dan keadaan masing-masing kepada ahli keluarga di Malaysia.

Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan seramai 56 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa.

Jumlah itu dikenal pasti berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.



 

Must Watch Video

Advertisement