KUALA LUMPUR: Seramai 45 pendaki warganegara Malaysia yang kini berada di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal disahkan berada dalam keadaan selamat susulan bencana banjir kilat yang melanda negara pergunungan itu.
Memetik laporan Berita RTM, kesemua pendaki terbabit dilaporkan tidak terjejas memandangkan laluan pendakian ABC terletak jauh dari zon bencana utama di Daerah Rasuwa dan sempadan Tibet.
Menurut laporan berkenaan, pihak penganjur dan jurupandu tempatan mengesahkan aktiviti kumpulan berkenaan berjalan lancar meskipun kawasan tanah tinggi berdepan cuaca hujan lebat.
Bagaimanapun, pergerakan pulang kumpulan pendaki itu ke bandar utama dijangka mengalami sedikit kelewatan berikutan kerosakan infrastruktur jalan raya serta kejadian tanah runtuh di beberapa sektor perhubungan darat.
Susulan bencana yang melanda, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menasihatkan rakyat Malaysia yang sedang berada di Nepal agar sentiasa berwaspada dan mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Wisma Putra turut meminta warganegara Malaysia di sana sentiasa memaklumkan status keberadaan terkini kepada keluarga di tanah air, selain menyarankan mereka yang merancang perjalanan atau aktiviti pendakian di kawasan berisiko tinggi menangguhkan rancangan buat sementara waktu ekoran ketidaktentuan cuaca monsun.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan di utara Nepal ekoran kejadian banjir lumpur dahsyat yang melumpuhkan rangkaian komunikasi dan meruntuhkan jambatan di Daerah Rasuwa bersempadan dengan Tibet.