Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: '9 pendaki Malaysia gagal dihubungi, doakan mereka' - Rakan

SHAH ALAM – Sekumpulan sembilan rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menyertai misi pendakian di Tibet, China gagal dihubungi ketika berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Rasuwagadhi-Kerung, Nepal sejurus negara itu dilanda banjir buruk._Sinar Harian
Kumpulan pendaki Malaysia yang gagal dihubungi selepas bencana banjir di Nepal.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sekumpulan sembilan rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menyertai misi pendakian di Tibet, China gagal dihubungi ketika berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Rasuwagadhi-Kerung, Nepal sejurus negara itu dilanda banjir buruk.

Kesemua sembilan pendaki terbabit yang diketuai oleh wakil operator pendakian warga Nepal, Ganesh Neupane dianggarkan berusia antara 40 hingga 65 tahun.

Mereka ialah Shabuddin Mun, Azman Karim, Mohd Fadzil Daros, Muhammad Haziq Ismail, Mohd Mohan Salim, Jason Ngeow, Muhamad Nasir Abdul Talib, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dan Mohd Sani Harul.

Rakan kumpulan pendaki itu, Azrul Zabani berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada operator pendakian di negara itu yang mengendalikan kumpulan terbabit, kesemua pendaki tersebut bertolak dari Kathmandu kira-kira jam 3.30 pagi dengan menaiki dua jip dan dalam perjalanan menuju ke sempadan Nepal-Tibet.

Katanya, kejadian kepala air itu dipercayai berlaku sekitar jam 9 hingga 10 pagi waktu Nepal ketika kesemua mereka masih berada dalam jip dan wakil operator yang membawa sempat memaklumkan bahawa berlaku insiden kepala air.

“Saya baru mendapat perkhabaran bahawa rakan pendaki saya yang yang hendak ke Lhasa Tour, Tibet masih gagal ditemui. Semua komunikasi dengan kumpulan pendaki ini gagal sejak semalam hingga jam 2 pagi ini.

“Mereka menaiki dua buah jip untuk ke Lhasa Tour, Banjir berlaku antara jam 9 hingga 10 pagi pagi waktu Nepal dan pada masa kejadian mereka semua duduk dalam jip serta hampir sampai ke sempadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan, angka rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal terus meningkat kepada 56 orang.

Jumlah berkenaan berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.

Menurut laporan portal antarabangsa yang memetik pihak berkuasa tempatan, bencana itu menyebabkan kerosakan pada jalan raya, jambatan, sistem bekalan elektrik serta beberapa projek tenaga di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Tibet.

Mengulas lanjut, Azrul, 47, yang juga pendaki berpengalaman memberitahu, terdapat kebimbangan kumpulan berkenaan mungkin terkena kepala air.

Bagaimanapun, menurutnya, masih ada harapan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat sekiranya sempat melepasi sempadan sebelum kejadian berlaku.

“Kalau mereka sudah lepas urusan di sempadan sebelum waktu kejadian sekitar jam 9 hingga 10 pagi, kebarangkalian untuk mereka selamat tinggi,” ujarnya.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat kini sedang digerakkan kerajaan Nepal, namun keadaan di kawasan bencana dilaporkan amat teruk selain terdapat beberapa lokasi yang berbahaya untuk dimasuki pasukan penyelamat.

Azrul berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Nepal juga sedang berusaha mendapatkan maklumat terkini daripada pasukan penyelamat berhubung nasib kumpulan terbabit.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook, Rohana Man turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan rakannya yang turut bersama kumpulan pendaki berkenaan.

Dia juga memohon orang ramai mendoakan keselamatan rakannya dan pasukan berkenaan selepas gagal menghubungi mereka menerusi WhatsApp sejak malam Rabu.

“Allahuakbar... Doakan rakan saya dan pasukan dia yang berada di sempadan Tibet-Nepal selamat dan dipermudahkan segala urusan.

“Malam tadi, WhatsApp semua tak berjawab. Semoga ada perkembangan terkini hari hari ni,” katanya dalam hantaran Facebook yang disertakan tanda pagar #PrayforNepal. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement