SHAH ALAM: “Gambar pertama tu macam adik saya.”
Demikian luahan seorang wanita selepas melihat gambar operasi menyelamat mangsa banjir di Rasuwa, Nepal yang memaparkan beberapa individu berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.
Menerusi hantaran di Threads, wanita berkenaan yang menggunakan nama Asmaliza11, berkongsi semula hantaran mengenai operasi menyelamat mangsa banjir di Rasuwa yang turut memaparkan beberapa individu diselamatkan pasukan penyelamat.
“Kalau ada yang di sana boleh tolong cross check tak? Adik saya Zaki,” katanya.
Dia dipercayai memohon bantuan pihak yang berada di lokasi kejadian untuk membuat semakan sama ada salah seorang individu yang diselamatkan dalam gambar tersebut ialah adiknya.
Hantaran berkenaan turut memaparkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa susulan kejadian banjir serta tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, identiti individu dalam gambar berkenaan belum dapat disahkan sebagai Zaki.
Perkongsian itu juga mendapat maklum balas daripada Hani Othman, isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe Solo, yang masih menantikan kepulangan suaminya selepas gagal dihubungi susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, 26 Ogos lalu.
Hani sebelum ini berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal.
Menurut Hani setakat ini dia belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.
"Setakat ni dekat hospital area Kathmandu belum ada dihantar tapi ktorang 'otw' ke embassy. Saya akan inform embassy. Tq for the info," tulisnya. - Sinar Harian