SIK: “Kami sekeluarga terima sebarang kemungkinan apa pun perkembangan Fakhrul.”
Itu luahan Mohd Saiful Munir Mohd Isa, 46, abang kepada pegawai bomba yang masih gagal dihubungi di Nepal, Mohd Fakhrul Munir, 44.
Katanya, dia dan keluarga tetap positif masih berharap adiknya selamat bersama kumpulan berkenaan dan hanya terputus hubungan susulan bencana yang melanda Rasuwa.
“Sejak kejadian, kami sekeluarga tidak putus berdoa untuk keselamatan adik dan semua anggota kumpulan berkenaan selain berharap mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
"Kita berfikiran positif bahawa dia selamat... kita ambil satu keadaan yang mana untuk mengharmonikan dalam situasi musibah ini dengan pandangan yang positif, bahawa sebenarnya dia masih dalam keadaan terperangkap.
"Tapi kita kena reda dengan keadaan kalau keadaan menjadi lebih buruk," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.
Menurut Mohd Saiful, keluarga juga tidak menganggap pemergian adiknya ke Nepal sebagai sesuatu yang luar biasa kerana dia sememangnya aktif dalam aktiviti mendaki dan kerap berkunjung ke negara berkenaan.
"Dia kerap keluar negara untuk aktiviti mendaki. Jadi, kami sudah biasa dengan keberadaan dia ke luar negara kerana dia memang aktif.
"Boleh dikatakan Nepal adalah rumah kedua dia. Dalam setahun hampir tiga ke lima kali dia akan ke Nepal," katanya.
Mohd Saiful yang juga Pegawai Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berkata kali terakhir dia berhubung dengan adiknya adalah kira-kira seminggu lalu sebelum Mohd Fakhrul berlepas ke Nepal.
Katanya, berdasarkan laluan pergerakan kumpulan berkenaan, mereka berkemungkinan berada di sekitar kawasan lembah ketika kejadian.
"Kami masih mengelakkan lagi daripada orang kata perkembangan yang negatif, ibu saya pun tahu. Sebab sekarang bila isu ini tular, sebenarnya ia masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.
"Akibat daripada tanah runtuh yang berlaku itu menyebabkan terputus hubungan komunikasi. Segala telco, segala pencawang semua runtuh dan lumpuh di sana.
"Jadi, kita anggap itu hanyalah satu musibah yang mana dia sebenarnya terperangkap dekat sana dan tidak boleh berhubung," katanya.
Katanya, ketika ini ahli keluarga mereka masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa.
Semalam, media melaporkan dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, mengesahkan kedua-dua pegawai itu ialah Mohd Sani Harul dan Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan ke Everest Base Camp (EBC).
Beliau berkata kumpulan tersebut tidak melakukan pendakian gunung, sebaliknya menyertai ekspedisi menggunakan kenderaan pacuan empat roda di laluan sempadan Tibet.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang berusaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa.
Anwar turut mengarahkan semua jabatan berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar supaya segera mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk melalui kementerian dan Kedutaan Malaysia di New Delhi, India serta Kathmandu, Nepal.