KUALA LUMPUR: Ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet mula memberikan sampel ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA), pada Selasa.
Wakil waris, Dr R Manivannan, berkata pengambilan sampel itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap negeri.
Namun beliau menegaskan, keluarga mangsa tidak akan berputus asa dan belum bersedia untuk mengalah, walaupun kemungkinan untuk menemukan mereka, adalah kecil.
"Memasuki hari ketujuh, sudah tentu keadaan ini amat mencabar dan sangat menguji emosi keluarga.
"Namun begitu, kami masih belum berputus asa dan masih menaruh harapan yang tinggi.
"Kami percaya dalam situasi bencana seperti ini, faktor medan, keadaan sungai, runtuhan, struktur bangunan dan lokasi mangsa boleh menyebabkan proses pencarian menjadi sukar.
"Selagi masih ada kemungkinan, walaupun kecil, kami percaya usaha mesti diteruskan. Kami belum bersedia untuk mengalah," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada selasa.
Menurut Manivannan, perkongsian yang diterima daripada ahli keluarga turut menunjukkan mereka tidak meminta sesuatu yang mustahil, sebaliknya mahu setiap usaha yang munasabah dan setiap kemungkinan diperiksa sehingga ke penghujungnya.
"Kita perlu mempertingkatkan usaha pencarian dan penyelamatan menggunakan kekuatan serta teknologi yang ada, selain memastikan setiap lokasi yang berkemungkinan diperiksa dengan teliti," katanya.
Beliau berkata, keluarga mangsa akan terus bersikap positif, berdoa dan menaruh harapan sepanjang usaha pencarian masih dijalankan.
Memetik laporan portal tempatan, angka korban susulan banjir di Nepal meningkat kepada 987 orang setakat pukul 3 petang, selepas pasukan keselamatan menemukan lebih banyak mayat di beberapa kawasan di negara itu.
Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA), Shanti Mahat, berkata, lebih 11,000 mangsa diselamatkan setakat ini, manakala kerajaan memperhebatkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang dilanda banjir.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 16 helikopter turut dikerahkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.