KUALA LUMPUR: Memasuki hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet, satu mayat dipercayai warga Nepal daripada rombongan Leaf Holidays yang turut disertai 23 rakyat Malaysia ditemukan di kawasan Trishuli pada Ahad.
Mayat berkenaan ditemukan kira-kira 75 hingga 80 kilometer dari lokasi terakhir kumpulan itu diketahui.
Wakil waris, Dr R Manivannan, berkata pihak berkuasa kini menunggu waris bagi proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.
Menurutnya, maklumat tidak rasmi berhubung penemuan mayat itu diterima daripada ejen di Nepal selepas gambar mangsa berkenaan didakwa menyerupai salah seorang anggota rombongan terbabit.
"Bagaimanapun, maklumat ini masih tidak rasmi dan kita masih menunggu pengesahan pihak berkuasa serta keputusan ujian DNA," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Manivannan berkata jumlah rakyat Malaysia yang direkodkan dalam senarai Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) kini meningkat kepada 51 orang berbanding 49 sebelum ini.
Katanya, dua nama baharu ditambah selepas sidang media pada Sabtu lalu, menjadikan keseluruhan 51 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan, terdiri daripada lapan Melayu, seorang Cina dan 42 India.
Sementara itu, beliau berkata MASFIH menerima maklum balas melalui e-mel daripada Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR), selain usaha mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum menerima makluman rasmi mengenai tarikh pasukan SMART akan berlepas.
"Melalui saluran tidak rasmi, kami menerima maklumat pasukan SMART dijangka digerakkan pada 1 September, iaitu esok (Selasa).
"Kita kini memasuki hari keenam dan setiap jam amat penting. Justeru, saya memberikan taklimat (memberitahu) kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, kira-kira pukul 11.45 malam tadi (Ahad) mengenai keperluan supaya pasukan SMART digerakkan lebih awal," ujarnya.
Menurutnya, beberapa perkara berkaitan turut dibincangkan dalam taklimat berkenaan dan Gobind mengambil maklum perkara itu sebelum memaklumkan akan membawanya untuk dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin.
"Kita berharap usaha SAR diperkukuh dengan segera, bukan sahaja membabitkan 49 mangsa yang belum ditemui, tetapi keseluruhan 55 rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana banjir di sempadan Nepal-Tibet.
"Sehingga kini, belum ada seorang pun rakyat Malaysia yang terlibat dilaporkan ditemui," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga sudah memulakan perbincangan dengan kerajaan China berhubung usaha SAR rakyat Malaysia di kawasan sempadan Tibet.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada keputusan muktamad untuk menghantar pasukan SAR atau SMART ke kawasan berkenaan melalui China.
Dalam pada itu, Manivannan berkata beliau turut dimaklumkan kerajaan China melaporkan 36 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi di sebelah sempadan Tibet dan dikategorikan sebagai hilang.
Bagaimanapun, katanya, angka itu perlu diteliti semula bagi memastikan lokasi sebenar kumpulan terbabit.
"Kita perlu meneliti semula sama ada mereka memasuki China atau Tibet melalui China, memasuki Tibet melalui sempadan Nepal-Tibet atau sedang bergerak keluar dari kawasan berkenaan melalui sempadan Nepal-Tibet.
"Ini penting bagi memastikan angka sebenar rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir kilat di kawasan Nepal-Tibet dapat dikenal pasti dengan tepat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata semakin ramai waris menerima panggilan daripada Wisma Putra bagi mendapatkan maklumat waris yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan pembantu konsular Wisma Putra.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat bahawa Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan perkhidmatan keutamaan daripada pihak polis bagi proses pengambilan sampel DNA dengan bantuan Jabatan Kimia.
"Bagi tujuan pengambilan sampel DNA, waris yang sesuai sedang dikenal pasti untuk memberikan sampel DNA, bukan sekadar rakan mangsa," katanya.
Selain itu, beliau turut berkata: "Kami sebelum ini turut meminta supaya seorang pegawai perhubungan dilantik bagi memastikan saluran komunikasi dua hala lebih teratur serta maklumat yang diterima adalah tepat.
"Malangnya sehingga hari ini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Wisma Putra atau Kedutaan Malaysia di Nepal berhubung perkara itu," katanya.