Banjir: "Niat membantu, tak apa tanggung kos sendiri asalkan penduduk selamat" - Amir

Fareez Azman
Disember 22, 2021 11:28 MYT
Amir (kanan) yang bertugas sebagai polis bantuan di klia2 berkata tidak kisah mengambi risiko membantu penduduk malah mengeluarkan wang sendiri untuk mengisi petrol. - Gambar/ Astro AWANI
SEPANG: Dalam suasana banjir yang belum lagi reda di beberapa kawasan di Lembah Klang, ramai wira tidak didendang tampil memberikan bantuan di saat mangsa amat memerlukan.
Di Kampung Bukit Changgang, Amir Azimi, 38 dan Mohamad Adma Sulaiman, 32, antara pemilik bot persendirian yang tidak putus-putus membawa mangsa ke kawasan selamat.
Menurut Amir yang tinggal di kampung berhampiran, sejak banjir melanda kawasan itu Sabtu lalu, botnya tidak berhenti digunakan untuk membantu penduduk dan pihak berkuasa.
“Ini bot memancing saya sendiri, sebenarnya saya pemancing, saya dari kampung sebelah.
“Jadinya saya tengok penduduk Kampung Bukit Changgang ni dah teruk sangat, saya buat WhatsApp group minta kawan-kawan yang ada bot datang bagi bantuan di sini,” jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Malah, kini selepas kesemua penduduk telah dipindahkan ke tempat selamat, khidmat botnya masih lagi diperlukan penduduk untuk mengambil barangan keperluan di kediaman yang terjejas.
“Sejak Sabtu sampai sekarang, bot tak pernah berhenti, yang mana perlukan bantuan, nak selamatkan kucing pun kita tolong.
“Dah ramai dah kiranya saya selamatkan, tidak mengapa saya pertaruhkan nyawa demi nyawa juga, walaupun kucing, kita cuba yang mampu,” jelasnya lagi.
Tambah Amir yang juga bertugas sebagai polis bantuan di klia2, dia tidak kisah mengambi risiko membantu penduduk malah mengeluarkan wang sendiri untuk mengisi petrol.
“Semua kos saya sendiri, tak mengapa niat untuk membantu. Mungkin hari ini kita tolong, lain hari rezeki datang untuk kita. Di Taman Sri Muda di Shah Alam pun ada kawan bantu di sana,” jelas Amir lagi.
Astro AWANI turut menerima pelawaan Amir menaiki botnya bagi meninjau sekitar kawasan Kampung Bukit Changgang yang sebahagiannya masih ditenggelami air.
Kira kira 10,000 penduduk terjejas di kampung terbabit melibatkan hampir 2,000 buah kediaman.
#Banjir 2021 #bukit changgang #pemilik bot persendirian #tanggung kos sendiri