KOTA TINGGI: Orang ramai yang berhasrat ke pusat bandar di sini, diminta menangguhkan sementara perjalanan mereka ke kawasan tersebut susulan keadaan paras air banjir yang masih tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata beberapa jalan di pusat bandar seperti Jalan Tun Seri Lanang hingga ke kawasan jambatan, selain Jalan Abdullah dan Jalan Niaga Utama masih dinaiki air menyebabkan tidak dapat dilalui kenderaan kecuali bot penyelamat.

"Saya menyeru kepada penduduk yang terjejas dan orang ramai yang ingin memasuki bandar Kota Tinggi agar menangguhkan sementara pergerakan mereka ini hingga air surut atau keadaan kembali seperti sedia kala," katanya kepada pemberita ketika operasi menyelamat di kawasan pusat bandar di sini hari ini.

Beliau berkata 112 orang awam yang terperangkap dalam banjir di kawasan pusat bandar berjaya diselamatkan sejak air naik mendadak bermula 9 malam hingga 4 pagi tadi.

Menurutnya operasi menyelamat kebanyakkan melibatkan mangsa banjir yang terperangkap di kawasan rumah dan premis perniagaan, namun masih ada antara mereka yang enggan berpindah.

"Ada segelintir daripada mereka fikir situasi banjir ini sekejap dan tidak berbahaya. Apabila air semakin naik, (barulah) mereka mohon pertolongan dan dengan sikap profesionalisme anggota agensi penyelamat kita, semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berhampiran," katanya.

Selain itu, Hussin berkata tiada laporan atau aduan mengenai kehilangan harta benda atau kecurian susulan banjir.

Mengenai jalan tutup pula, beliau berkata meskipun ada jalan utama ditutup untuk laluan, terdapat beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui untuk ke Mersing dan ke Kota Tinggi.

"Ada jalan seperti di Johor Bahru-Kota Tinggi dan Kota Tinggi-Mersing melalui pintasan dan jalan Simpang Pasak ke lampu isyarat Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi ia mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan," tambahnya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata pihaknya mengatur gerak tiga aset bot dan dua lori lima tan untuk operasi penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata antaranya operasi penyelamatan di kawasan kediaman di sekitar pusat bandar dan Kampung Tembioh berdekatan Kampung Makam di sini sejak awal pagi tadi.

"Bermula awal pagi tadi, kita sudah terima tujuh panggilan untuk operasi penyelamatan mangsa banjir di kawasan Bandar Kota Tinggi dan Kampung Tembioh. Situasi banjir hari ini, air masih berarus dan ramalan cuaca dikatakan pada sebelah petang akan hujan. Sebelum petang kita akan selesaikan operasi menyelamat.

"Pada sebelah malam dijangka berlaku air pasang dengan anggaran ketinggian 2.2 meter, jadi bersama pelbagai agensi lain kami sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. Koordinasi penyelamatan juga dibuat bersama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

-- BERNAMA