KUANTAN: Banjir di Pahang beransur pulih apabila hanya tinggal tujuh mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran pada jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, angka itu menurun berbanding jam 4 petang semalam membabitkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.

"Seramai lima mangsa daripada sebuah keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian telah pulang ke rumah berikutan banjir telah pulih petang semalam (Jumaat).

"Selain itu, PPS Balai Raya Ulu Sungai Raub yang sebelum ini menempatkan 21 mangsa daripada lapan keluarga telah ditutup pada jam 3 petang semalam (Jumaat) ekoran banjir pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menerusi laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua batang sungai masih menunjukkan paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin.

Selain itu, dua sungai di Maran menunjukkan paras amaran iaitu Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, manakala Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan menunjukkan paras waspada.