[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Banjir: Paras air di Pasar Awam Salak Tinggi mula surut, bomba teruskan pemantauan

Shafiqa Azami 28/11/2025 | 10:00 MYT
Kira-kira 40 orang telah diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berdekatan. - Foto Astro AWANI
SEPANG : Banjir di Pasar Awam Salak Tinggi di sini mula surut selepas tular di media sosial, susulan hujan berterusan sejak malam Khamis yang menyebabkan beberapa kawasan di Sepang dinaiki air.


Ringkasan AI
  • Banjir di Pasar Awam Salak Tinggi surut selepas tersebarnya di media sosial, disebabkan hujan berterusan di Sepang.
  • Ketua Balai Bomba KLIA menyatakan kira-kira 40 orang telah diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berdekatan.
  • Pasukan bomba bersedia dengan pasukan gerak cepat bagi menghadapi kemungkinan banjir berterusan akibat pergerakan Monsun Timur Laut.


Ketua Balai Bomba KLIA, Razif bin Mohmad Haris berkata, sehingga kini sekitar 40 orang mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

“Untuk gerak kerja, kita menggunakan tiga unit bot bersama lori dan kenderaan 4x4 bagi ke lokasi. Seramai 30 anggota digerakkan sejak sesi malam bermula pukul 2.30 pagi hingga 6.30 pagi, kemudian terus respons banjir di empat lokasi berbeza,” katanya.

Razif menambah, cuaca kini semakin baik dan hujan lebat tidak lagi berlaku seperti malam tadi. Pasukan bomba turut bersedia dan menubuhkan pasukan gerak cepat sekiranya banjir berlarutan atau memerlukan tambahan kekuatan pasukan anggota serta peralatan lain.

“Bagi menghadapi pergerakan Monsun Timur Laut (MTL), pasukan gerak cepat ditempatkan di Putrajaya dan Selangor. Mereka kini dalam 'mod standby' dan boleh digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Taman Salak Indah 3 dimana turut terjejas banjir akibat hujan lebat malam tadi.

[TERKINI] Banjir Pasar Awam Salak Tinggi mulai surut, bomba terus pantau


Pasukan bomba terus memantau kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta mencegah sebarang kejadian susulan.

Setakat ini, dua PPS telah dibuka di daerah Sepang bagi menempatkan mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Salak menempatkan 51 keluarga membabitkan 146 mangsa.

Manakala Dewan MPKK Kampung Labu Lanjut pula menempatkan lapan keluarga dengan 19 mangsa.

Keseluruhannya, kedua-dua PPS menampung seramai 165 mangsa daripada 59 keluarga.







#Sepang #banjir #PPS #Pasar Awam Salak Tinggi #bomba KLIA