HULU TERENGGANU: Sepasukan bomba yang terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir turut mengalami detik getir dan terpaksa berlindung bersama penduduk di atas bumbung di Kampung Lubuk Pait di sini.

Ini berikutan kenaikan paras air secara mendadak dan deras selain hujan lebat yang  masih melanda menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat keluar bersama penduduk kampung dari kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, pasukan penyelamat bersama 25 mangsa yang sebelum ini diselamatkan dari beberapa kampung seperti Kampung Tapah dan Kampung Cheting berada di atas bumbung kediaman penduduk sementara menunggu bantuan tiba.

Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan namun pihaknya berdepan kesukaran untuk membawa keluar  mangsa kerana paras air semakin tinggi.

Hanaffi berkata, pihaknya juga tidak berani untuk mengambil risiko meredah banjir berikutan keadaan arus yang deras selain hujan lebat.

“Sekarang ini saya cuba tenangkan mangsa yang berada di kawasan yang selamat walaupun dinaiki air supaya tidak panik dengan situasi sekarang berikutan kenaikan air yang agak mendadak sementara menunggu pasukan penyelamat yang cuba masuk ke kawasan berkenaan termasuk juga NGO-NGO yang datang beri bantuan di kawasan yang terkandas terkena banjir,” katanya.

Menurut Hanaffi, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada penduduk di Kampung Tapah sekitar pukul 4 pagi tadi sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Sejam selepas itu, bomba menerima pula panggilan daripada penduduk di Kampung Cheting, Kampung Peneh dan Kampung Sekayu.

Jelasnya, usaha  menyelamatkan dilakukan dalam keadaan gelap dengan keadaan air yang semakin tinggi dan deras dengan bantuan penduduk kampung.