NATIONAL
Banjir: PdPR diteruskan, pastikan pelajar tidak keciciran - Fadhlina

Fadhlina (empat, kanan) beramah mesra bersama pelajar-pelajar semasa melakukan lawatan kerja di SMK Kuala Jengal hari ini. -Bernama
DUNGUN: Kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih relevan bagi memastikan pelajar terjejas banjir tidak keciciran, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Ringkasan AI
- PdPR masih relevan untuk memastikan pelajar terjejas banjir tidak keciciran, dengan sokongan SST dan AST di pusat pemindahan sementara.
- Sekolah bersedia melaksanakan PdPR termasuk menyediakan bahan berbentuk lembaran maklumat jika terdapat gangguan Internet.
- Kementerian Pendidikan optimis penyelenggaraan sekolah akibat banjir dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
Fadhlina berkata pihak sekolah sememangnya bersedia untuk melaksanakan kaedah PdPR termasuk menyediakan bahan kepada pelajar.
"Guru-guru kita bersedia dari segi material... kalau ada gangguan Internet sekali pun, persiapan material berbentuk lembaran maklumat boleh diberikan terus kepada anak-anak murid. Jadi, pendidikan itu tidak akan terganggu walaupun dalam keadaan banjir," katanya.
Mengenai AST dan SST, Fadhlina berkata kedua-dua pasukan itu akan mengambil alih tugas akademik di PPS termasuk menerusi kaedah didik hibur membabitkan keseluruhan 1,580 jurulatih selain masing-masing 110 kaunselor di Kelantan dan Kedah serta 90 di Terengganu.
Sementara itu, beliau berkata walaupun kementeriannya masih menilai keseluruhan kerugian di sekolah akibat banjir kali ini, beliau optimis penyelenggaraan dapat dilakukan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
"Kita jangka ia dapat dimuktamadkan selepas kita terima laporan daripada semua negeri terlibat.
"Biasanya kita akan persiapkan sekolah ini dengan peruntukan bencana iaitu kalau kerosakan itu memang tidak dapat memberikan suasana yang kondusif di kelas, peruntukan akan diberikan segera.
"Setakat ini tidak ada (gangguan terhadap operasi sekolah sebelum sesi baharu persekolahan bermula). Kita berpuas hati dengan persiapan sekolah untuk mengembalikan anak-anak secara fizikal.
"Barangkali yang perlu dilihat ialah persiapan dari segi perabot yang akan diuruskan sepenuhnya oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami