[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Banjir: Penduduk Jalan Kubu Gajah 24 risau jika hujan berterusan

Ernalisa Othman 23/04/2025 | 03:25 MYT
Sekurang-kurangnya 86 rumah penduduk sekitar Kampung Baru Sungai Buloh dan Paya Jaras Hilir dinaiki air banjir pagi ini susulan cuaca buruk di kawasan itu sejak malam tadi. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Penduduk Jalan Kubu Gajah 24 dekat Sungai Buloh di sini diancam kebimbangan ekoran hujan lebat dan cuaca buruk di kawasan itu sejak awal pagi tadi.
Keadaan itu mengakibatkan air banjir naik setinggi paras pinggang di kawasan perumahan mereka pagi ini.
Menceritakan detik cemas dalam kejadian sebelum subuh tadi, Wan Hazirah Wan Haron berkata, kira-kira jam 5 pagi dia terdengar bunyi hon yang kuat sebagai amaran hujan lebat di kawasan berkenaan.
"Keadaan pagi subuh agak kelam kabut. Ketika kejadian saya tengah bersiap untuk tunaikan solat tetapi tiba-tiba saya dengar bunyi hon yang kuat.
"Apabila saya buka pintu rumah, saya lihat air masuk ke dalam semakin laju. Waktu itu saya hanya ingat anak dan terus berlari untuk kejutkan dia.
"Sementara tunggu anak kedua bawa adiknya yang kecil keluar, saya selamatkan kereta dan kemudian berpatah balik untuk lihat keadaan mereka.
"Alhamdulillah semua selamat," katanya.
Sementara itu, Mudir Tahfiz At Taqwa Wan Islah Ibrahim berkata, ketika kejadian dia dan pelajar di pusat tahfiz berkenaan sedang menyiapkan diri untuk menunaikan solat subuh.
Namun, air naik dengan deras menyebabkan mereka terpaksa keluar dari kawasan tersebut untuk menyelamatkan diri.
Katanya, banyak kelengkapan di tahfiz berkenaan yang tidak sempat diselamatkan.
"Kerosakan berlaku terutama di surau, pejabat dan rumah. Sofa, almari dan barang-barang lain, semua tidak sempat diselamatkan.
"Hujan turun sejak awal pagi kira-kira pukul tiga dan keadaan semakin lebat ketika azan subuh. Apabila air masuk dengan sangat laju, kami amat terkejut," katanya.
Seorang penduduk, Faris Daud pula berkata, hujan sejak malam yang berlarutan sehingga ke subuh menimbulkan rasa bimbang mereka.
Katanya, ini bukan kejadian yang pertama malah sudah lebih 10 kali ia berlaku.
"Di sini kita mengharapkan pihak berkenaan supaya bantulah kami selesaikan isu ini.
"Carilah apa puncanya. Setiap kali hujan lebat, memang kami akan bimbang," ringkasnya.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 86 rumah penduduk sekitar Kampung Baru Sungai Buloh dan Paya Jaras Hilir di sini, dilaporkan dinaiki air susulan cuaca buruk sejak malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.01 pagi dan 6.30 pagi membabitkan dua lokasi berkenaan.
Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka setakat ini.
#cuaca buruk #hujan lebat #Sungai Buloh #banjir