MALAYSIA

Banjir Perak, Kedah tunjuk tanda pemulihan, jumlah mangsa menurun

Astro Awani 29/10/2025 | 22:50 MYT
Di Kedah, jumlah mangsa menurun kepada 698 orang daripada 198 keluarga, berbanding 720 orang daripada 202 keluarga malam tadi. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perak dan Kedah terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 856 orang pagi ini, berbanding 906 orang malam tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 239 keluarga masih berlindung di tujuh PPS di kedua-dua negeri.

Di Perak, jumlah mangsa kekal 130 orang daripada 41 keluarga, semuanya dari daerah Manjung.

Mereka masih berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai selepas PPS SK Sungai Batu ditutup petang Rabu.

Di Kedah, jumlah mangsa menurun kepada 698 orang daripada 198 keluarga, berbanding 720 orang daripada 202 keluarga malam tadi.

Lima PPS masih beroperasi di daerah Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena.

Pendang mencatat jumlah tertinggi dengan 562 mangsa daripada 159 keluarga di tiga PPS.

Di Kota Setar, 128 orang daripada 37 keluarga masih berlindung di sebuah PPS, manakala di Pokok Sena, lapan orang daripada dua keluarga ditempatkan di satu PPS.






#banjir #PPS #mangsa #jkm