Banjir: Polis kerah 369 anggota bantu operasi menyelamat - KPN

Hilmi Malik
Mac 3, 2023 05:00 MYT
ACRYL SANI: Pelbagai sumber tenaga termasuk agensi dari NADMA dan pasukan penyelamatan telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir terlibat. -Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis telah mengerahkan seramai 369 anggotanya sebagai usaha membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara sejak Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya mengakui insiden banjir kali ini merupakan rekod yang terburuk berlaku bagi negeri Johor.
"Pelbagai sumber tenaga manusia seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa pasukan penyelamat yang lain digerakkan dalam operasi menyelamat.
"Seramai 369 anggota dan pegawai polis turut membantu mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2022 di Bukit Aman pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan operasi Balai Polis Chaah di Segamat yang terjejas teruk terpaksa dihentikan sementara sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
Keadaan banjir juga menjejaskan 126 mangsa yang menginap di kuarters polis Segamat yang kini telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah Segamat menyaksikan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir apabila beberapa laluan utama terpaksa ditutup.
Ini termasuk mangsa-mangsa banjir yang terputus laluan sehingga ada yang menginap di hotel dan pejabat.
#Acryl Sani Abdullah Sani #banjir #PPS #NADMA