Banjir: PTPTN bincang dengan KPT dan MoF beri moratorium bersasar - Wan Saiful

Astro Awani
Disember 23, 2021 08:53 MYT
Wan Saiful berkata, PTPTN berharap rayuan pihaknya untuk bagi memudahkan peminjam mendapat perhatian pihak atasan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengurusan atasan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diarahkan segera mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memberikan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan.
Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, PTPTN juga telah diarahkan agar mempermudahkan urusan penyusunan semula bayaran bagi peminjam yang terkesan.
"Penyusunan semula bayaran balik dalam kes-kes tertentu adalah dalam bidang kuasa PTPTN maka seboleh-bolehnya para pegawai harus mempermudahkannya.
"Sudah pasti keutamaan peminjam yang terkesan ialah untuk membina semula kehidupan. Kita mesti bantu mereka. Tetapi sebagai sebuah agensi pelaksana sahaja, perkara ini memerlukan sokongan pihak atasan.
"Saya harap rayuan kami akan mendapat perhatian sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wan Saiful menjelaskan cadangan supaya moratorium diberikan kepada pemimjam yang terkesan diberikan oleh seorang mangsa banjir.
Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri di Pantai Timur merupakan negeri yang terkesan teruk akibat banjir yang melanda selepas hujan tanpa henti lebih 24 jam sejak Jumaat lalu.
#PTPTN #bantuan #banjir #Peminjam #Moratorium #penyusunan semula